Friday, 15 December 2017
A+ R A-
Friday, 13 October 2017 08:39

Proton ke persada antarabangsa

Written by
Rate this item
(0 votes)

Li Chunrong

PERUBAHAN pengurusan penting yang diumumkan seminggu lalu oleh Proton sudah pastinya menjadi satu titik perubahan dalam usaha sejak sekian lama pengeluar kereta nasional itu untuk muncul sebagai jenama antarabangsa yang berjaya.

Dr Li Chunrong, yang mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) cabang pembuatan Proton Holdings Bhd memiliki kelayakan dalam automotif global, yang menjadikan beliau individu terbaik  memulihkan semula Proton dan menembusi pasaran Asean secara besar-besaran.

Beliau yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor automotif dan telah berkhidmat dengan banyak pengeluar kereta utama seperti Honda Motor Co, Kia Motors Corp dan China Dongfeng Motor Group, berkeupayaan merangsang operasi di Proton.

Perubahan dalam Proton itu adalah positif, antara lainnya dari segi melindungi pekerjaan bagi warga tempatan, memudahkan pindahan teknologi, memperkenalkan model baharu, menyuntik tunai dan menambah baik sentimen dalam rantaian bekalan tempatan.

Li yang bertanggungjawab bagi keseluruhan operasi Proton, merangka pelan 10 tahun untuk memulihkan semula pengeluar kereta nasional itu dan berjanji menjadikan Proton antara jenama kenderaan utama di Asia Tenggara.

Berkemungkinan 29 September akan terpahat sebagai tarikh keramat bagi Proton dalam membuka lembaran baharu dan mula berfikir sebagai perbadanan automotif bertaraf antarabangsa.

Walaupun DRB-Hicom Bhd yang memiliki 50.1 peratus pegangan dalam Proton dan Zhejiang Geely Holdings Group (49.9 peratus) tidak mengumumkan model kereta baharu, namun yang lebih penting adalah pilihan CEO dan barisan pengurusan baharu.

Dalam sekelip mata, Proton bertukar peranan daripada pengeluar kereta tempatan kendiri dengan hanya satu pasaran utama - Malaysia – menjadi sebahagian daripada kumpulan auto antarabangsa memiliki jenama terkemuka, Geely di China, The London Taxi Company di Great Britain dan Volvo di Sweden.

Transformasi itu memberi peluang kepada Proton memainkan peranan sekian lama ditunggu-tunggu untuk menjadi pemain automotif antarabangsa di bawah naungan jenama terkenal dunia, yang berkongsi teknologi, reka bentuk, bahagian-bahagian, platform dan pengetahuan pemasaran.

Bersama dengan Li sebagai CEO, pengumuman tersebut turut termasuk seorang personaliti automotif berprofil tinggi yang menyertai lembaga pengarah Proton.

Individu itu ialah veteran automotif, Winfried Vahland, yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Škoda Auto, anak syarikat milik penuh Volkswagen Group.

Vahland terkenal dengan usahanya memulihkan jenama auto Czech Republic, Skoda, menjadi jenama global dihormati.

Jadi, bukan sahaja Proton kini diketuai CEO dari Honda, Li juga dibantu di peringkat lembaga pengarah oleh bekas CEO daripada Volkswagen Group, yang pengalamannya dalam memulihkan Skoda diyakini dapat membantu memulihkan kembali Proton.

Jadi, jelas sekali pertukaran kepimpinan bukan hanya untuk menjadikan Proton pengeluar kereta nombor satu di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Seperti dijelaskan Li dalam pengumuman media pertamanya, beliau menyasarkan meneroka ke pasaran dinamik Asean yang memiliki 600 juta penduduk bagi menjadikan Proton sebagai antara tiga jenama serantau utama, dan kemudiannya menjadikan Proton pemain antarabangsa serba lengkap.

Dengan langkah ini, Geely yang memiliki 49.9 peratus pegangan akan memulakan transformasi Proton, dengan membawa masuk teknologi enjin yang mematuhi peraturan European Union Euro 6, meningkatkan kualiti bahagian-bahagian dan suntikan pindahan model – kenderaan utiliti sukan Boyue, yang tidak ada dalam senarai model Proton.

Kebanyakan penganalisis bersependapat bahawa DRB-Hicom dan pemegang saham utama, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary melakukan perkara betul dalam mencari rakan kongsi strategik.

Suntikan tunai daripada Geely bukanlah semata-mata perkara paling dihargai.

Sebaliknya, yang paling bernilai ialah sumbangan pengurus, teknologi, model baharu, rangkaian pemasaran global dan perkongsian platform Geely yang menyelamatkan Proton daripada membelanjakan berbilion ringgit untuk meningkatkan statusnya daripada pemain tempatan kepada pemain global.

Kini, kakitangan Proton, pembekal dan rakyat Malaysia secara amnya akan dapat menyaksikan Proton akhirnya bakal melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa, satu langkah yang telah sekian lama dinanti-nantikan dan yang akan melonjakkan sektor automotif Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/proton-ke-persada-antarabangsa-1.740571

Read 203 times

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.