Friday, 15 December 2017
A+ R A-
Friday, 13 October 2017 08:37

Tiada magis pulih Proton

Written by
Rate this item
(0 votes)

SIAPA sangka rantaian gedung permainan terbesar Amerika Syarikat, iaitu Toys ‘R’ Us Inc akhirnya memfailkan perlindungan kebankrapan pada Isnin, dua minggu lalu.

Sebagai sebuah jenama yang ternama di seluruh dunia bukan setakat dikenali oleh kanak-kanak tetapi juga ibu bapa, tindakan memfailkan perlindungan kebank­rapan tersebut sedikit sebanyak mengejutkan ramai pihak.

Manakan tidak, rata-rata kanak-kanak yang kini sudah meningkat dewasa amat mengenali produk-produk Toys ‘R’ Us yang menjadi sebahagian hidup mereka ketika zaman kanak-kanak dahulu. Toys ‘R’ Us sudah menjadi jenama sinonim dunia kanak-kanak sejak dahulu lagi.

Sememangnya kisah sebegini sering disajikan kepada orang ramai sejak kebelakangan ini. Banyak syarikat yang tidak berdaya untuk melawan persaingan sengit yang kini cukup ketara berbanding dahulu. Lebih-lebih lagi dengan persaingan secara maya melalui penjualan, pemasaran dan pembelian produk-produk termasuklah barangan permainan kanak-kanak.

Bagi syarikat yang tidak mampu bertahan, natijahnya tidak lain tidak bukan ditelan oleh kecanggihan teknologi terkini.

Sebelum berlakunya sebarang kisah tragik sebegini, sesuatu perlu dilakukan. Proses penstrukturan semula antara langkah terbaik untuk melonjak semula nama-nama besar syarikat sebelum terus berkubur. Ini sudah menjadi asam garam dalam dunia perniagaan. Produk akan mencapai satu peringkat kemuncak yang diterima umum sebelum menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan.

Cuma, langkah terbaik adalah dengan mengambil tindakan agar kelestarian dan kemapanan produk dalam pasaran pelanggan kekal dalam tempoh yang lama. Bukan mudah untuk mengekalkan kemapanan tersebut. Hanya dengan strategi mantap serta sentiasa mengambil tindakan yang memuaskan hati pelanggan maka insya-Allah produk tersebut akan kekal berdaya saing.

Inilah yang disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) yang baharu, Dr. Li Chunrong bahawa mencapai ke­puasan pelanggan menjadi rahsia terbukanya dalam me­rangka strategi memulihkan jenama Proton.

Langkah menjalankan kerjasama melalui pakatan strategik antara DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Hol­dings Group bagi melonjakkan semula jenama Proton sememangnya suatu amalan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat automotif antarabangsa. Misalnya, Toyota Motor Corp menjalankan usahasama dengan Mazda untuk membangunkan teknologi kenderaan elektrik. Persaingan yang sengit dalam dunia automotif memerlukan kerjasama kukuh antara syarikat automotif.

Kerjasama ini menjurus ke arah manfaat bersama demi mengukuhkan lagi kedudukan sesebuah syarikat. Bukanlah dengan mengadakan kerjasama ke arah keburukan sebagaimana ‘kerjasama’ antara jenama syarikat-syarikat terkemuka di dunia dalam skandal rasuah yang dikait dengan keluarga terkenal di Afrika Selatan, baru-baru ini. Kerjasama yang dimaksudkan adalah kerjasama ke arah kebaikan sebagaimana dilakukan oleh syarikat-syarikat dalam industri yang lain selain automotif.

Misalnya, kerjasama antara syarikat Jerman, Siemens AG dan syarikat Perancis, Alstom SA dalam menggabungkan operasi rel kedua-kedua syarikat mereka meskipun kedua-kedua syarikat bersaing antara satu sama lain. Di samping itu, kerjasama satu lagi syarikat Jerman dalam industri keluli iaitu Thyssenkrupp AG dan syarikat keluli India, Tata Steel Ltd. bagi membentuk syarikat pengeluar keluli yang kedua terbesar di Eropah.

Inilah antara contoh-contoh terkini bagaimana syarikat-syarikat di dunia bekerjasama dengan bergabung antara satu sama lain bagi mencipta satu sinergi yang lebih hebat penangannya. Era sekarang mengkehendaki mana-mana syarikat di dunia sentiasa berada pada kedudukan yang terbaik agar tidak ketinggalan jauh di belakang para pesaing mereka.

Inilah yang dilakukan oleh Proton. Membentuk kerjasama demi kebaikan semua. Apa yang penting di sini, produk-produk Proton bukan sentiasa kekal diterima di pasaran domestik tetapi menembusi pasaran antarabangsa menjadi jenama Malaysia bertaraf dunia. Yang menariknya, Chunrong berikrar bekerja kuat siang dan malam untuk mengembalikan kegemilangan Proton suatu ketika dahulu.

Pelan pemulihan Proton menuntut kerjasama semua pihak bukan setakat tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan jenama Proton berada pada bahu CEO baharunya tetapi juga di semua peringkat terma­suklah rakyat Malaysia. Membawa masuk kepakaran luar bukan bermaksud meragui kepakaran tempatan. Malaysia memiliki ramai tenaga pakar tetapi apa yang utama di sini bagaimana kerjasama melalui gabungan tenaga pakar tempatan dan asing serta sokongan kewa­ngan melalui sinergi global mampu membuahkan hasil yang diingini untuk masa akan datang.

Sudah tentu tiada magis yang mampu menukar serta merta Proton menjadi jenama antarabangsa. Memulihkan Proton memerlukan masa. Masa yang sesuai diperlukan dan ruang serta sokongan perlu diberikan kepada pihak pengurusan baharu dalam mencetuskan era ­kegemilangan Proton. Usah hanya pandai mengkritik kerana ini tidak membantu menjayakan mana-mana agenda korporat.

Kerjasama antara semua pihak perlu berteraskan prinsip menang-menang yang mana objektif akhirnya untuk mengukuhkan kedudukan sesebuah organisasi. Inilah yang perlu dipegang oleh kita kerana dengan itu, insya-Allah perkara yang ingin dilakukan akan dipermudahkan oleh-Nya. Akhirnya, manfaat bukan setakat dirasai oleh organisasi jenama Malaysia seperti Proton tetapi juga keseluruhan rakyat Malaysia yang menantikan era baharu Proton yang gilang-gemilang.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/tiada-magis-pulih-proton-1.536205

Read 224 times

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.