Monday, 20 November 2017
A+ R A-
Thursday, 07 September 2017 08:37

DRB-HICOM, Geely masih cari CEO PROTON

Written by
Rate this item
(0 votes)

SHAH ALAM: DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group buat masa ini masih lagi dalam proses untuk memuktamadkan perubahan kakitangan tertinggi di PROTON Holdings Bhd.

Ia sebagai merujuk kepada beberapa laporan berita berhubung spekulasi pelantikan seorang tokoh automotif dari China untuk mengetuai syarikat kereta nasional itu.

"Keutamaan pertama bagi kedua-dua pihak buat masa ini, sebagai sebahagian perkara dipersetujui dalam Perjanjian Muktamad yang dimeterai pada 23 Jun lalu, adalah merangka pelan perniagaan mantap yang dapat memastikan PROTON masih berada dalam kedudukan kukuh untuk memulakan perjalanan baharunya.

"Sebarang pengumuman berkaitan perkara ini, jika ada, akan dibuat pada masanya," kata DRB-HICOM dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan berita sebelum ini menyebut tokoh automotif China, Li Chunrong bakal memimpin PROTON selepas beliau dikatakan sudah menyertai barisan pengurusan kanan Geely.

Portal China Automotif Review melaporkan, Chunrong, bekas ahli Lembaga Pengarah dan Naib Presiden Eksekutif Dongfeng-Honda Engine Co Ltd itu secara rasminya menyertai Geely dan berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif PROTON.

"Pada 21 Ogos, difahamkan Chunrong secara rasminya menyertai Geely dan berkhidmat sebagai CEO PROTON," lapor portal berkenaan.

Dalam pada itu, satu lagi portal automotif China, Gasgoo melaporkan pada bulan lalu, Dongfeng Automobile kehilangan dua bakat besar, iaitu Chunrong dan Che Yanhua yang mana didedahkan akan menyertai Geely.

Bagaimanapun, Geely dan PROTON tidak dapat mengesahkan pelantikan Chungrong sebagai CEO PROTON, dengan unit komunikasi korporat Geely berkata ia hanya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada masa yang sesuai, demikian menurut laporan berita berkenaan.

Chungrong menyertai Dongfeng Automobile pada 1987 dan telah mengendalikan pembangunan bagi kenderaan penumpang Dongfeng selama 10 tahun.

Dalam tempoh 30 tahun dengan Dongfeng Automobile, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah bagi Lembaga Pengarah Dongfeng; Timbalan Pengurus Besar Dongfeng Yueda KIA Automobile Ltd Co; Pengawal Selia Dongfeng Group; Pengurus Besar Bahagian Kereta Penumpang Dongfeng dan lain-lain.

Beliau juga baru sahaja dilantik sebagai Pengarah dan Timbalan Pengurus Besar Eksekutif Dongfeng Honda Engine pada Julai.

Geely membeli 49.9 peratus pegangan saham dalam PROTON dan 51 peratus ekuiti dalam Lotus Group pada Jun lalu, sekali gus menjadikannya sebagai rakan strategik asing PROTON.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2017/09/322117/drb-hicom-geely-masih-cari-ceo-proton

Read 245 times

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.