Tuesday, 17 October 2017
A+ R A-
Thursday, 10 August 2017 08:31

R&D automotif kereta nasional

Written by
Rate this item
(0 votes)

R&D automotif kereta nasional

UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Centre of Advance Research on Energy (CARe) telah menempa sejarah tersendiri apabila para penyelidik CARe diiktiraf sebagai rakan penyelidik Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton setelah terlibat dengan penyelidikan bersama bagi pengoptimuman komponen utama kuasa automotif.

Proton menerusi bahagian R&D mereka telah mengadakan lawatan ke pelbagai universiti seluruh negara dalam mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai untuk bekerjasama dalam pelbagai aspek teknologi automatif seperti reka bentuk, pembangunan bahan, aerodinamik, keselamatan aktif, sistem pelepasan dan pelbagai lagi sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mereka untuk kekal berdaya saing sebagai negara industri automotif.

Pelbagai usaha sama dilakukan, antaranya dengan penganjuran pertandingan Proton Green Mobility Challenge 2012 (PGMC2012) peringkat kebangsaan dalam usaha memupuk kreativiti kalangan penuntut kejuruteraan muda di seluruh negara.

Ia bagi melahirkan golongan kalangan penuntut yang mampu untuk berfikir di luar kotak dalam meneroka kenderaan elektrik dan bersaing dalam pelbagai cabaran ketahanan dalam pertandingan tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTeM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Jailani Mohd Nor berkata, usaha sama dilakukan pihak Proton bersama UTeM merupakan sebahagian daripada pencarian bakat kalangan graduan muda dalam bidang kejuruteraan yang mempunyai peluang untuk menyertai organisasi bereputasi tinggi seperti Proton.

Menurutnya, sebagai hasilnya, banyak idea baru telah ditemui dan mempunyai potensi tinggi untuk diterokai dan dioptimumkan.

“UTeM yang pada mulanya terlibat dengan Proton menerusi latihan industri penuntut dan bermula dari itu, pihak UTeM meneruskan langkah membekalkan bakal jurutera muda untuk memulakan kerjaya bersama Proton.

"Hasil daripada kerjasama berterusan, UTeM diberi penghormatan untuk meluaskan kerjasama ke tahap yang lebih tinggi dengan perkongsian penyelidikan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.

Mohd Jailani berkata, terbaharu dengan kerjasama Proton dan Geely, UTeM menjadi salah satu rakan penyelidikan dalam pembangunan teknologi baru untuk pengguna automotif mengikut arus perdana di peringkat kebangsaan.

Pengoptimuman lebih mendalam

Sebuah Proton Persona telah diserahkan kepada Ketua Penyelidik CARe, Prof Madya Dr Noreffendy Tamaldin pada mesyuarat permulaan projek yang mana Proton Persona tersebut merupakan sebahagian daripada penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan oleh UTeM terhadap Proton.

Untuk perlaksanaan projek ini, Proton telah menghantar seramai enam jurutera dan juruteknik yang diketuai Ir Azmi Osman, manakala UTeM pula menghantar dua penyelidik yang diketuai Noreffendy dengan sokongan geran kewangan oleh geran dalaman UTeM PJP/2017/FKM-CARE/S01564.

Menurut Noreffendy, fasa awal penyelidikan dan pembangunan ini akan dijalankan UTeM dan kemudiannya prototaip yang dihasilkan akan diperluaskan bagi pengoptimuman secara lebih mendalam.

"Trend penubuhan rangkaian penyelidikan bersama universiti-universiti tempatan telah banyak dijalankan oleh negara-negara maju seperti Jepun, Eropah, Korea dan Amerika Syarikat dan rahsia kemajuan negara mereka adalah terletak pada penyelidikan tersendiri bersama universiti awam mereka.

"Dalam konteks inilah yang menyebabkan Proton sangat berminat dalam mewujudkan lebih banyak kerjasama bersama universiti-universiti di Malaysia untuk menghasilkan lebih banyak inovasi teknologi dan kekal berdaya saing dalam pasaran global yang semakin mencabar," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/kampus/r-d-automotif-kereta-nasional-1.716024

Read 142 times

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.