Thursday, 17 August 2017
A+ R A-
Monday, 19 June 2017 03:33

Baki pinjaman PROTON diselesai seminggu lagi - Mustapa

Written by
Rate this item
(0 votes)

KUALA LUMPUR: Baki pinjaman mudah sebanyak RM250 juta kepada PROTON Holdings Bhd (PROTON) dijangka diselesaikan kira-kira seminggu lagi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion yang diluluskan kerajaan kepada PROTON, yang sebahagian besarnya digunakan untuk menyelesaikan baki bayaran kepada vendor.

Katanya, dakwaan bahawa kerajaan tidak memberikan bantuan dana kepada PROTON seperti yang dijanjikan adalah tidak berasas.

"Walaupun bantuan seperti ini tidak pernah berlaku dalam ekonomi pasaran terbuka, ia adalah satu langkah yang bertanggungjawab oleh kerajaan dalam memastikan semua pilihan yang berdaya maju diterokai untuk menjamin masa depan lebih baik bagi PROTON.

"Bagaimanapun kerajaan tidak boleh berterusan membantu PROTON setiap kali syarikat itu menghadapi masalah kewangan. Atas sebab ini, pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion dibuat tertakluk kepada Proton mendapatkan rakan strategik asing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi blog bahawa setakat yang diketahuinya, pinjaman mudah RM1.5 bilion yang diberikan kerajaan tidak diterima PROTON.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, banyak pandangan dinyatakan berhubung masa depan PROTON hasil kerjasama yang dicadangkan dengan Geely Holding Group Ltd (Geely Holding) walaupun terlalu awal untuk dinyatakan.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan rekod pencapaian Geely Holding dalam penjenamaan semula Volvo, masa depan PROTON dilihat lebih cerah.

"Apa yang kita tahu ialah tanpa pinjaman mudah RM1.5 bilion oleh kerajaan pada April 2016, masa depan PROTON akan menjadi mencabar apabila kebajikan 350 vendor langsung dan tidak langsung serta 60,000 pekerja akan menjadi taruhan," katanya.

Beliau berkata, saiz pasaran automotif negara adalah kira-kira 600,000 unit setahun dan bagi mana-mana syarikat untuk berjaya, ia perlu memenuhi skala ekonomi.

Katanya, PROTON menampilkan beberapa pelan promosi eksport dalam tempoh lima tahun lalu tetapi tiada yang menjadi kenyataan.

"Perlu diingatkan bahawa keputusan untuk menjadi rakan kongsi Geely Holding adalah semata-mata keputusan komersial yang dibuat demi kepentingan PROTON, vendor dan kakitangannya.

"Ia dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk faedah yang akan diperoleh dari teknologi Geely, kemudahan penyelidikan dan pembangunan serta suntikan wang tunai.

"Amat malang apabila niat dan komitmen kerajaan untuk melihat PROTON berjaya dilabel Tun Mahathir sebagai tindakan membalas dendam. Kerajaan akan dan sentiasa melindungi kepentingan negara dan kita tidak membuat keputusan berdasarkan dendam peribadi," katanya.

Mustapa berkata, industri automotif kini menjadi sangat global dan saling berhubung apabila usaha sama menjadi satu kebiasaan kerana tidak banyak pengeluar kereta boleh berdikari, seperti Nissan-Renault dan Cherry-Jaguar Land Rover.

Beliau berkata, tiada gunanya mengekalkan `kebanggaan negara' seperti didakwa Dr Mahathir jika ia bermakna membiarkan syarikat itu terus bermasalah, sekali gus menjejaskan kebajikan pekerjanya.

"Tindakan mengulangi dakwaan bahawa kita mengorbankan maruah negara adalah sia-sia seperti dibuktikan menerusi perkongsian Perodua-Daihatsu dan banyak usaha sama lain.

"Seperti yang kita tahu, syarikat Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga mempunyai kepentingan utama dalam beberapa operasi di luar negara.

"Kepada pengkritik perkongsian PROTON-Geely, cukuplah. PROTON akan mempunyai rakan kongsi strategik asing yang bergerak ke hadapan dalam keadaan Malaysia masih mengekalkan kawalan majoriti.

"PROTON dikenali di peringkat global sebagai jenama Malaysia dan tiada apa yang boleh mengubahnya," katanya.

https://www.bharian.com.my/node/294082

Read 119 times

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.